Masyarakat madani ialah masyarakat Islam yang maju atau bertamadun. Ia maju karena anggota-anggota di dalam diri umat Islam itu dapat dibangunkan atau dimajukan berdasarkan iman atau akidah atau tauhid.
· Akalnya dapat dibangunkan dengan bermacam-macam ilmu yang memberi manfaat sama ada ilmu Akhirat mahupun ilmu dunia yang bermacam-macam cabangnya. Dipenuhi pula dengan pengalaman-pengalaman.
· Jiwanya dapat dibangunkan rasa tauhid atau rasa bertuhan, sifat ikhlas, kasih sayang, pemurah, berani, sabar, tawakal, lapang dada, bertolak ansur, redha, qanaah dan zuhud.
· Nafsunya dapat dibangunkan (dibersihkan daripada nafsu ammarah kepada lawwamah seterusnya mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan kamilah). Paling tidak, dapat dibangunkan kepada nafsu mulhamah. Di sini sudah sampai kawasan selamat. Lebih daripada itu ia merupakan subsidi dari Allah yaitu derajat-derajat dan pangkat-pangkat yang lebih tinggi lagi di kalangan orang mukmin.
Membangunkan jiwa dan nafsu ini, ia bersifat rohaniah. Kemudian anggota lahirnya (jawarih) dapat membangunkan kemajuan fizikal berpandukan ilmu dan bertunjangkan iman. Di antaranya ialah membangunkan keperluan-keperluan kehidupan dunia yang bersifat material seperti makan minum yang sebaik mungkin, tempat tinggal dan tempat kerja yang secanggih mungkin. Juga dapat membangunkan kemudahan-kemudahan hidup seperti jalan raya yang baik, kendaraan yang canggih mengikut zamannya, alat-alat senjata yang canggih dan seimbang atau lebih untuk keperluan waktu itu demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air dari serangan-serangan musuh.
Kalau begitu, masyarakat madani adalah satu masyarakat yang wujud begitu unik, indah, menyenangkan dan selesa karena di dalamnya penuh dengan sifat-sifat dan ciri-ciri ukhwah, kasih sayang, timbang rasa, rasa bersama, bekerjasama, menyenangkan, bersatu padu, bertolak ansur, maaf-bermaafan, doa-mendoakan, bertolong bantu, pemurah dan berani. Di sudut kerohaniannya, berdisiplin dan bersih daripada dosa serta noda. Kalau berlaku pun terlalu sedikit atau ada tetapi tidak dapat dilihat karena ia telah tenggelam dengan pahala atau kebaikan yang tercetus dari masyarakat Islam.
Anggota masyarakatnya benar-benar hidup di dalam suasana aman makmur, maju, membangun, berkemudahan di dalam serba-serbi, makan minum cukup atau bisa jadi mewah, pakaian serba ada, tempat tinggal nyaman, perhubungan mudah, perdagangan, industri, pertanian dan pendidikan maju.
Semua orang punya pekerjaan. Tidak ada orang yang menganggur. Mudah beragama, senang mencari rezeki, mudah belajar, tempat- tempat perawatan penyakit banyak dan menyenangkan. Maruah agama, bangsa dan negara terjaga. Semua aspek hak-hak asasi manusia terjamin. Ia dijaga dan dipertahankan. Siapa yang merusaknya diadili dan dihukum setimpal dengan kesalahannya.
Manusia merasa bebas membuat aktivitas. Namun di dalam kebebasan itu tidak pula melanggar peraturan dan tidak merusakkan hak asasi manusia. Manusia aktif tetapi berdisiplin. Rajin tidak pula sampai melanggar etika masyarakat. Di dalam maju, suasana tenang. Di dalam kesibukan, tidak ada pelanggaran undang-undang. Bertemu, bergaul, berbincang, bermesyuarat, bercakap tetapi dengan penuh sopan serta tawaduk. Tidak ada orang yang berlagak. Di dalam suasana hormat-menghormati, jaga-menjaga, ingat-mengingati, tegur-menegur, sayang-menyayangi. Berlomba-lomba membuat kemajuan dan kebaikan tetapi tidak ada dengki. Ia bersifat selamat dan menyelamatkan.
Sebenarnya kaedah dan cara untuk membangunkan masyarakat madani sudah pun dijelaskan oleh ajaran Islam, melalui Al Quran dan Sunnah. Gambaran secara realitinya dan amali yang telah berlaku pula telah dipaparkan oleh buku-buku sejarah. Oleh itu hari ini kita bukan hendak mencari-cari kaedah dan bentuk masyarakat. Kaedah telah ada. Al Quran dan Sunnah cukup terang tentang itu. Gambaran masyarakat yang wujud sekitar 3 kurun, jelas sekali telah dipaparkan oleh buku-buku sejarah.
Apakah yang patut kita buat? Yang patut kita buat ialah mengusahakan supaya orang-orang Islam mahu memperjuangkannya, menggesa agar umat Islam boleh menerima kaedah itu dan bagaimana agar sampai gambaran masyarakat Islam (masyarakat madani) itu boleh diterima oleh umat Islam.
dikutip dari “Catatan Kuliah Abuya”